Make your own free website on Tripod.com

Allah Benci Kepada Pengkhianat

Syukur alhamdulilah, mendung politik dan onak yang ditabur oleh pihak tertentu untuk mengeruhkan suasana negara supaya berlaku onar semakin pudar dan ternyata gagal. Usaha jahat itu tenggelam seperti karamnya kapal Titanic. Malah mereka yang suka membuat kacau dengan niat jahat ini semakin menyedari mereka sebenarnya sudah hilang punca.

Mungkin banyak persoalan telah bermain di hati mereka seperti:

  • Mahukah mereka melihat musnahnya perpaduan orang Melayu dan UMNO hanya kerana ketidakpuasan hati mereka dipengaruhi golongan berkepentingan memecahkan perpaduan umat Melayu?

  • Bersediakah mereka dipersalahkan oleh generasi akan datang jika berlaku ketidaktentuan dalam negara yang selama ini aman dan makmur?

  • Apakah mereka dapat menjanjikan masa mendatang yang cerah untuk generasi akan datang dengan tindakan mereka menghasut menentang kerajaan dan pemimpin?

Kita sewajarnya mempunyai rasa bimbang; jika salah tindakan kita kemungkinan-kemungkinannya boleh merugikan kita dan menguntungkan pihak tertentu dan parti pembangkang seperti DAP yang sudah bersedia menahan lukah. Akhirnya ke mana kita orang Melayu…..?

Justeru itu, mereka yang mempunyai niat buruk untuk mengeruhkan lagi politik mahupun ekonomi negara diharap segera bertaubat dan sedar, usaha sebegini bukan sahaja tindakan tidak beretika tetapi paling nyata tidak direstui Allah s.w.t. Bersyukurlah dengan pemberian Allah kepada kita di tanah air yang makmur dan harmoni biarpun banyak negara jiran dalam ketidaktentuan samada di bidang ekonomi, sosial mahupun politik sedangkan kita terus bertahan dengan nikmat Allah terutama dalam kegawatan yang melanda seluruh rantau ini.

Kerja jahat tidak sekali-kali dapat membawa faedah sebaliknya boleh memusnahkan apa yang dikurniakan Allah kepada kita sekarang. Janganlah kita merobek baju sendiri dan meludah di langit kerana kesannya tetap terkena kepada kita. Janganlah juga kita menjadi pengkhianat bangsa dan negara sehingga sanggup negara dicerca dan di kuasai penjajah. Tindakan sebegini adalah tindakan penderhaka, dibenci Allah.

Kini segalanya sudah terbukti, rakyat di negara ini tidak dapat menerima pembohongan dan omokan tipu helah mereka yang mahu menjejaskan kepentingan negara demi kepentingan individu, biar apapun slogan yang dibawa. Hari demi hari, rakyat berbilang kaum di seluruh tanah air menunjukkan sokongan padu mereka kepada usaha kerajaan dan negara. Ini tanda kesetiaan dan kesepakatan untuk memantapkan lagi negara yang dicintai.

Sebagai rakyat yang cintakan tanah air dan kemakmuran sudah tentu kita tidak mahu membiarkan nama baik Malaysia tercalar. Ayuh, insaflah dan belajar bersyukur….kita tidak akan kerugian.

Alhamdulilah, akhirnya negara-negara asing khususnya negara maju sudah sedar betapa segala tohmahan terhadap Malaysia yang disumbat ke telinga dan pengetahuan mereka adalah tidak berasas. Mereka mula memperakui dan bersedia mendengar cadangan kita terutama berkaitan isu spekulator matawang dan keperluan mekanisme khusus untuk menyekat perkembangan negatif ini.

Malahan, mereka mulai berasa malu dan segan untuk mencampuri urusan negara ini agar tidak kelihatan bodoh seperti setengah negara yang terlajak dengan lantang bersuara mengenai Malaysia pada hal mereka tidak tahu menahu perkara sebenar. Kini negara-negara luar dan pelbagai pemimpin di peringkat antarabangsa terus memberikan sokongan kepada Malaysia yang diperakui tetap gemilang seperti sebelumnya cuma terjejas dek kegawatan ekonomi yang berpunca daripada spekulator rakus matawang yang mahu menjahanamkan ekonomi bukan sahaja di Malaysia tetapi sebahagian besar rantau Asia.

Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu kita tidak akan merelakan tanah air kita diperkotak katikkan oleh orang asing mahupun mereka mencampuri urusan kita.…inilah sewajarnya sumpah anak watan Malaysia.