Make your own free website on Tripod.com

Allah Benci Kepada Pengkhianat

Syukur alhamdulilah, mendung politik dan onak yang ditabur oleh pihak tertentu untuk mengeruhkan suasana negara supaya berlaku onar semakin pudar dan ternyata gagal. Usaha jahat itu tenggelam seperti karamnya kapal Titanic. Malah mereka yang suka membuat kacau dengan niat jahat ini bukan sahaja mulai kepenatan tanpa berhasil tetapi juga semakin menyedari mereka sebenarnya hilang punca. Justeru itu, mereka yang mempunyai niat buruk untuk mengeruhkan lagi politik mahupun ekonomi negara diharap segera bertaubat dan sedar, usaha sebegini bukan sahaja tindakan tidak beretika tetapi paling nyata tidak direstui Allah s.w.t.

Kerja jahat tidak sekali-kali dapat membawa faedah sebaliknya boleh memusnahkan apa yang dikurniakan Allah kepada kita sekarang. Janganlah kita merobek baju sendiri dan meludah di langit kerana kesannya tetap terkena kepada kita. Janganlah juga kita menjadi pengkhianat bangsa dan negara sehingga sanggup negara dicerca dan di kuasai penjajah, ia sama sekali dibenci Allah.

Kini segalanya sudah terbukti, rakyat di negara ini tidak dapat menerima pembohongan dan omokan tipu helah mereka yang mahu menjejaskan kepentingan negara demi kepentingan individu, biar apapun slogan yang dibawa. Hari demi hari, rakyat daripada berbilang kaum di seluruh tanah air menunjukkan sokongan padu mereka kepada usaha kerajaan dan negara. Sebagai rakyat yang cintakan tanah air dan kemakmuran sudah tentu kita tidak mahu membiarkan nama baik Malaysia tercalar..

Allah tetap bersama kita, akhirnya negara-negara asing khususnya negara maju sudah sedar betapa segala tohmahan terhadap Malaysia yang disumbat ke telinga dan pengetahuan mereka adalah tidak berasas. Malahan, mereka mulai berasa malu dan segan untuk mencampuri urusan negara ini agar tidak kelihatan bodoh seperti setengah negara yang terlajak dengan lantang bersuara mengenai Malaysia pada hal mereka tidak tahu menahu perkara sebenar. Kini negara-negara luar dan pelbagai pemimpin di peringkat antarabangsa terus memberikan sokongan kepada Malaysia yang diperakui tetap gemilang seperti sebelumnya cuma terjejas dek kegawatan ekonomi yang berpunca daripada spekulator rakus matawang yang mahu menjahanamkan ekonomi bukan sahaja di Malaysia tetapi sebahagian besar rantau Asia.

Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu kita tidak akan merelakan tanah air kita diperkotak katikkan oleh orang asing mahupun mereka mencampuri urusan kita.…inilah sewajarnya sumpah anak watan Malaysia.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Barat Sudah Terhantuk Baru Mahu Dengar Saranan Kita

Suara dan saranan Malaysia mula mendapat sokongan padu serta perhatian serius di persada antarabangsa. Ini jelas dalam beberapa perbincangan antarabangsa yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin negara khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, seruan kita terus mendapat tumpuan terutama di kalangan pemimpin dan media Eropah. Apa tidaknya, beberapa negara Eropah sudah dapat menerima seruan Malaysia untuk mengawal selia kegiatan berbentuk spekulatif terhadap mata wang yang disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sejak setahun lalu di Hong Kong.

Sebelum ini pihak Barat lebih suka memperli seruan kita biarpun ia benar kerana keangkuhan mereka tidak mahu menerima kenyataan yang idea daripada Timur terutama Malaysia yakni negara kecil dan ramai penduduk serta pemimpin Islam adalah langkah yang tepat. Lainlah kalau idea itu dari Barat. Penerimaan mereka kali inipun setelah ekonomi mereka sendiri ditampar hebat dengan penguasaan eksport mereka merosot dengan mendadak ekoran kegawatan yang melanda Asia dan mula merebak ke Amerika Latin. Barulah, negara-negara maju pura-pura terbeliak dengan gelagat penyangak spekulator matawang dan ada yang berura-ura mahu merumus mekanisme menyekat tindakan tidak bertanggungjawab ini.

Sekarang barulah dengar bisikan dan pujian beberapa negara maju dan medianya terhadap usaha dan saranan kita setelah batang hidung mereka terkena tempias kegawatan ekonomi. Sebahagian besar negara maju kini mulai sedar yang mana intan dan kaca. Mulalah ada yang tampil menyatakan mereka terpesona dengan tindakan Malaysia yang berani berusaha sendiri memerdekakan dasar ekonominya sehingga menampakkan kejayaan tanpa perlu mengikut telunjuk mahupun bernaung di bawah payung IMF. Malaysia berjaya mencatat lebihan imbangan perdagangan tahun lalu berjumlah RM58.15 bilion yang mencerminkan usaha kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi menerusi eksport dan penggantian import semakin menyerlah. Ini berbeza dengan negara-negara seperti Indonesia, Thailand dan Korea Selatan yang mengambil bantuan IMF telah terjerat dengan masalah ekonomi yang lebih besar.

Paling terbaru ialah sokongan padu yang dilahirkan sendiri oleh Perancis di persidangan Kumpulan Negara Membangun (G15) minggu lalu. Presiden Perancis, Jacques Chirac dalam pertemuan dengan Perdana Menteri sendiri memberi jaminan untuk memainkan peranan penting dalam memujuk kumpulan tujuh negara maju (G-7) lain supaya menerima pandangan Malaysia yang mengetuai kumpulan negara membangun (G15) bagi mewujudkan satu reka bentuk baru kewangan antarabangsa. Seruan Malaysia berhubung rekabentuk baru kewangan antarabangsa ini juga telah mendapat sokongan daripada Jerman, Kanada dan Jepun. Mereka sependapat idea kita wajar diketengahkan dan mahu mendesak G-7 mengkaji usaha ini.

Yang tinggal sekarang hanya Amerika Syarikat dan Britain yang pastinya terpaksa juga menelan keegoan mereka berikutan kegawatan ekonomi kini melarat daripada Asia Pasifik ke Amerika Latin. Amerika Syarikat sendiri baru-baru ini dikejutkan dengan krisis ekonomi yang melanda secara mengejut di Brazil, negara terbaru menerima jangkitan kegawatan yang dikhuatiri memberikan tekanan kepada eksport Amerika Syarikat. Britain pun apa kurangnya, perkembangan ini sudah tentu memberikan tekanan kepada eksportnya dan sekaligus ekonominya.