Make your own free website on Tripod.com

Berita panas

BEBERAPA TOKOH KORPORAT

AKAN DISERET KE MAHKAMAH

 

Kuala Lumpur 12 Feb. - Beberapa tokoh korporat akan diseret ke mahkamah tidak lama lagi atas berbagai tuduhan, antaranya menipu bank, memutar belit (manupulate) pasaran saham, memberi rasuah serta pecah amanah.

Menurut sumber-sumber yang layak dipercayai, kes mengenai salah laku ini telahpun berada di tangan Peguam Negara dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk bertindak ke atas mereka ini.

"Segala pertuduhan ke atas mereka sudahpun siap. Fail mengenai kesalahan mereka sudahpun berada di tangan Peguam Negara. Dijangka Peguam Negara akan mengambil tindakan pada bila-bila masa saja sekarang ini," kata sumber itu lagi.

Kesemua tokoh-tokoh korporat ini terlibat mengendalikan syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur dan saham syarikat mereka pernah menjadi "saham panas" di satu ketika dulu.

Antara tuduhan yang akan dihadapkan kepada mereka ialah memutar belit pasaran saham di mana ada yang menggunakan kedudukan mereka dalam syarikat masing-masing bagi tujuan tersebut.

"Ada di antara mereka yang menggunakan syarikat broker saham sendiri untuk memanipulasi pasaran saham. Ini satu jenayah," kata sumber itu lagi.

Terdapat di antara tokoh korporat ini yang menipu bank secara menggunakan dokumen tidak betul, akaun tidak betul dan memberi rasuah kepada pegawai bank tertentu.

Selain itu, ada pula tokoh korporat yang melakukan pecah amanah serta menggunakan kedudukan mereka untuk menipu syarikat sendiri.

Semua mereka yang melakukan kesalahan jenayah kolar putih ini akan menerima habuan masing-masing tidak lama lagi.


***