Make your own free website on Tripod.com

 

DUIT TABUNG HAJI DAH KENA KEBAS?

Alhamdulilah, tahun ini nampaknya lebih ramai jemaah haji kita akan berlepas ke tanah suci Mekah untuk menunaikan fardhu haji iaitu Rukun Islam yang kelima. Kita berdoa Selamat Menunaikan Fadhu Haji dan semoga sentiasa mendapat barkah Allah SWT serta menikmati haji yang mabrur kepada semua jemaah haji. Dipanjatkan doa ...semoga jemaah kita ini dapat menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin selaras dengan impian menjadi umat yang soleh dan terluputnya semua dosa-dosa masa lalu....sebersih kain putih.

Nampaknya, Tabung Haji tak lah sesak duit untuk hantar jemaah ke tanah suci seperti pernah dihebohkan sebelum ini. Malah, Tabung Haji sendiri telah berjaya meningkatkan kuota jemaah sehingga lebih 30,000 orang dengan mengambil sebahagian kuota daripada Indonesia yang mengalami kegawatan teruk. Malah menurut pihak Tabung Haji, mereka telah mencuba untuk mendapatkan kuota yang lebih besar tetapi tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan Arab Saudi. Bagaimanapun syukur di tengah kegawatan dan fitnah busuk oleh pihak tertentu terhadap Tabung Haji, ia tetap tidak berganjak sebaliknya menambah pula bilangan jemaah. Syukur, Allah sentiasa kepada pihak yang benar dan syabas diucapkan kepada Tabung Haji.

Patutlah, tak ada lagi heboh-heboh pasal duit Tabung Haji kena kebas kebelakangan ini. Pihak yang selama ini bukan main kelentong mereka dengan bermacam tipu dan hasutan sudah malu alah sebab pekung sudah terdedah, perkara sebenar sudah diumumkan dan ramai jemaah pun sudah berlepas.

Kalau tidak, bukan main fitnah mereka kononnya wang simpanan di Tabung Haji dah dikebas kerajaan untuk bayar gaji kakitangan kerajaanlah dan ada digunakan untuk menebus hutang korporat serta anak pemimpin. Ada yang gamak menuduh kononnya wang tabung haji disapu dek anak Perdana Menteri. Pendek kata macam-macamlah dakyah dan pembohongan yang disebar seluas-luasnya terutama ke kampung-kampung. Masyaallah...apa dah jadi dengan umat Islam. Yang peliknya, ada setengah tukang sebar fitnah dan dakyah ni orang yang mengaku alim atau bepegang kuat kepada ajaran Islam. Apakah ini caranya kita menunjukkan keIslaman dengan membuat dakyah tipu muslihat...Bertaubatlah. Tahukah kita dosa menabur dakyah seumpama ini. Lebih-lebih lagi mereka ini yang sering mendabik dada dan dengan suara lantang di kampung-kampung mengaku mahu menjadi pemimpin rakyat.

Adalah menjadi harapan kita kepada para jemaah supaya pandai-pandailah menjaga diri dan nama negara. Jangan sampai di tanah suci nanti terlanjur perbuatan seperti setengah mereka yang suka mencemar nama negara dan pemimpin tanpa menghiraukan akibatnya terpecik ke muka sendiri serta menyusahkan semua pihak. Kita bimbang perbuatan begini nanti bukan pahala yang dibawa pulang tetapi bala dan dosa bertimbun. Kerjakan fardhu haji dengan kusyuk dan tawaduk. Moga-moga mendapat Rahmat dan Rahman daripada Allah SWT supaya semua umat dan negara Islam sejagat menikmati keamanan dan keharmonian.

Inginlah kita nasihatkan mereka yang mengakui golongan Reformasi mahupun parti pembangkang seperti PAS yang kononnya memperjuangkan Islam supaya hentikan kerja memukul canang serata pelusuk tanah air dengan berita palsu semata-mata mahu menegakkan agenda sendiri. Kerja menakutkan rakyat; melagakan orang ramai dan menghasut adalah kerja Syaitan. Bukankah Syaitan sudah berjanji akan melaga dan menghasut hati nurani umat Islam supaya mereka berbalah dan berperang sesama sendiri...dah tu janganlah kita meringankan dan membantu kerja Syaitan..

Wassalam.